
Kota Kinabalu: Jangkitan baharu Covid-19 di Sabah meningkat sedikit dengan 78 kes kepada 2,236 kes hari ini, berbanding 2,158 kes semalam.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kadar berkenaan dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Katanya, ia sejajar kadar kebolehjangkitan atau Rt semasa di Sabah yang semakin stabil dengan catatan semasa 1.0.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjangkakan jumlah kes baharu dalam beberapa hari akan datang berlegar sekitar angka kes hari ini, sama ada meningkat sedikit ataupun turun sedikit,” katanya dalam kenyataan, petang ini.
Katanya, tujuh daerah mencatat kes tiga angka hari ini iaitu Kota Kinabalu dengan 781 kes, diikuti Tuaran (170 kes), Penampang (138 kes), Kota Belud (113 kes), Papar (110 kes), Keningau (108 kes) dan Tawau (103 kes).
Katanya, sebanyak 17 daerah pula mencatat kes dua angka, manakala tiga daerah lagi iaitu Kunak, Semporna dan Kalabakan mencatat kes satu angka.
“Satu kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Kiulu yang berlokaliti di Tuaran diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di Sabah berbaki 41 setakat ini.
“Sebanyak 2,217 atau 99.16 peratus daripada 2,236 kes baharu hari ini pula berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti masing-masing lapan kes dalam Kategori 3 dan 4, manakala tiga kes dalam Kategori 5,” katanya.
Mengenai PICKids, setakat ini katanya program itu berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 51,049 daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.
Katanya, sebanyak 301 kes hari ini membabitkan kanak-kanak berumur bawah 11 tahun yang belum divaksin, dengan 168 daripadanya adalah kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin iaitu berumur bawah lima tahun.
“Selamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang bermula hari ini. Moga mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu.
“Amatlah diharapkan agar guru-gurudan pelajar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:
Covid Update 2 Mac 2022
Sabah 2,236 (2,158)
Kota Kinabalu 781 (651)
Tuaran 170 (142)
Penampang 138 (111)
Kota Belud 113 (120)
Papar 110 (135)
Keningau 108 (130)
Tawau 103 (83)
Beaufort 97 (130)
Sandakan 75 (88)
Kota Marudu 64 (41)
Putatan 58 (100)
Tenom 54 (60)
Kuala Penyu 49 (49)
Ranau 46 (47)
Sipitang 46 (45)
Lahad Datu 31 (32)
Beluran 25 (17)
Nabawan 25 (18)
Pitas 24 (25)
Telupid 21 (30)
Kudat 21 (25)
Tambunan 18 (22)
Kinabatangan 17 (17)
Tongod 17 (13)
Kunak 9 (8)
Semporna 8 (17)
Kalabakan 8 (2)
Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 1 Mac 2022
-Deasoka