
Kota Kinabalu: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah kembali melepasi angka 1,000 selepas kira-kira empat bulan mencatat kes tiga angka dengan 1,205 kes baharu, hari ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 296 kes berbanding 909 kes yang direkodkan semalam.
“Empat daerah mencatat kes tiga angka dengan Sandakan yang tertinggi iaitu sebanyak 230 kes, diikuti Kota Kinabalu (213 kes), Penampang (113 kes) dan Tuaran juga 113 kes.
“Sebanyak 13 daerah lagi mencatat kes dua angka dengan jumlah yang tinggi dicatatkan di daerah Papar (84 kes), diikuti Kota Marudu (74 kes), Beaufort (62 kes), Ranau (55 kes), Lahad Datu (53 kes), Tawau (52 kes) dan Kota Belud (33 kes).
“Hanya daerah Kalabakan tidak merekodkan sebarang kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Masidi berkata, pemerhatian mendapati peratusan kes baharu yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah tinggi dengan sebanyak 527 kes atau 43.7 peratus daripada jumlah kes hari ini.
Jelasnya, statistik itu menunjukkan virus Covid-19 sudah bertapak dalam komuniti dan mengakibatkan kadar jangkitan yang lebih cepat serta meluas.
“Adalah dijangka jumlah kes harian akan terus melambung naik dalam tempoh terdekat. ‘It will get worse before it gets better’,” katanya.
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu lagi kluster baharu diisytiharkan hari ini, iaitu Kluster Kampung Weston di Beaufort.
Katanya, kluster berkaitan jangkitan dalam komuniti itu berpunca daripada majlis perkahwinan yang dihadiri ahli keluarga dari dua lokaliti iaitu Kampungg Lubok dan Kampung Menengah, Weston.
“Kes indeks adalah seorang lelaki berumur 66 tahun yang disahkan positif melalui ujian PCR pada 3 Februari lalu di Klinik Kesihatan Penampang kerana bergejala demam, batuk dan sakit badan sejak 30 Januari lalu.
“Hasil saringan kontak rapat, tiga orang kontak serumah dikesan positif. Pesakit pernah menghadiri Majlis Perkahwinan di Kampung Lubok dan Kampung Menengah, Weston pada 29 dan 30 Januari lalu.
“Setakat ini jumlah kes yang berkait dengan kluster ini ialah 27 termasuk 22 kes yang dilaporkan pada hari ini. Semua pesakit sudah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Masidi berkata kerajaan negeri sudah memulakan program vaksinasi untuk kanak-kanak bermur lima hingga 11 tahun bermula pada 3 Februari lalu dengan seramai 30 orang kanak-kanak menjadi perintis kepada program itu.
Jelasnya, sebanyak dua dos suntikan akan diberikan kepada kanak-kanak dengan jarak suntikan lapan minggu, masing-masing mengandungi 10 Mcg vaksin iaitu satu pertiga daripada dos suntikan untuk orang dewasa.
Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:
Covid Update 5 Februari 2022
Sabah 1,205 (909)
Sandakan 230 (185)
Kota Kinabalu 213 (101)
Penampang 113 (115)
Tuaran 113 (86)
Papar 84 (36)
Kota Marudu 74 (53)
Beaufort 62 (57)
Ranau 55 (30)
Lahad Datu 53 (57)
Tawau 52 (31)
Kota Belud 33 (11)
Putatan 23 (22)
Kunak 17 (9)
Kuala Penyu 14 (24)
Keningau 12 (10)
Sipitang 11 (5)
Semporna 10 (16)
Kudat 9 (11)
Telupid 8 (2)
Kinabatangan 6 (16)
Beluran 4 (16)
Nabawan 3 (0)
Tenom 3 (6)
Tambunan 1 (10)
Pitas 1 (0)
Tongod 1 (0)
Kalabakan 0 (0)
Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 4 Februari 2022
Kluster Baharu
Kluster Kg Weston,
Beaufort, 27 (+25)
(Kluster Komuniti)
– Deasoka