Covid-19 Sabah: Catatan kes tertinggi lebih 5,500 hari ini

Covid-19 Sabah: Catatan kes tertinggi lebih 5,500 hari ini

Kota Kinabalu: Jangkitan baharu Covid-19 di Sabah terus meningkat dengan sebanyak 5,565 kes lagi hari ini, menjadikannya angka tertinggi direkodkan di Sabah setakat ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 771 kes berbanding 4,794 kes semalam.

Bagaimanapun, katanya 99.59 peratus atau 5,542 daripada 5,565 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala enam kes dalam Kategori 3, 12 kes dalam Kategori 4 dan lima kes dalam Kategori 5.

“Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi di Sabah hari ini dengan 1,395 kes. Jumlah ini mewakili satu perlima daripada jumlah kes seluruh Sabah.

“Sebanyak 66 peratus daripada kes baharu di Kota Kinabalu adalah daripada kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sebanyak 12 daerah lagi mencatat kes tiga angka dengan jumlah tertinggi di Penampang sebanyak 606 kes, diikuti Tawau (430 kes) dan Lahad Datu (398 kes).

Selebihnya, beliau berkata di Papar sebanyak 337 kes, Tuaran (320 kes), Sandakan (289 kes), Kota Belud (216 kes), Keningau (215 kes), Putatan (188 kes), Kota Marudu (164 kes), Beaufort (158 kes) dan Ranau (104 kes).

“Sebanyak 14 daerah lagi mencatat kes dua angka. Secara keseluruhan, semua daerah di Sabah merekodkan jangkitan baharu hari ini,” katanya.

Beliau berkata, hari ini jumlah kes yang berpunca daripada jangkitan dalam komuniti atau sporadik ialah 62.43 peratus atau 3,474 daripada 5,565 kes.

“Jangkitan dalam komuniti lazimnya tidak diketahui punca jangkitan atau dikategorikan sebagai kes bergejala. Kes jangkitan sporadik yang tinggi adalah petanda jelas bahawa virus ini sudah menyebar ke seluruh komuniti dan bukan lagi tertumpu di lokaliti tertentu,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 18 Februari 2022
Sabah 5,565 (4,794)

Kota Kinabalu 1,395 (904)
Penampang 606 (513)
Tawau 430 (273)
Lahad Datu 398 (242)
Papar 337 (347)
Tuaran 320 (444)
Sandakan 289 (459)
Kota Belud 216 (156)
Keningau 215 (136)
Putatan 188 (128)
Kota Marudu 164 (149)
Beaufort 158 (203)
Ranau 104 (195)
Pitas 91 (52)
Tambunan 85 (72)
Kuala Penyu 85 (90)
Tenom 74 (56)
Sipitang 72 (51)
Tongod 54 (0)
Nabawan 52 (18)
Kunak 49 (53)
Beluran 43 (71)
Kinabatangan 39 (51)
Semporna 34 (43)
Telupid 27 (47)
Kudat 26 (25)
Kalabakan 14 (16)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 17 Februari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Kampung Lampada,
    Kota Marudu 25(+23)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Bukit Langsat,
    Keningau 25(+3)
    (Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|