Cerun runtuh KM2.1 Sandakan akan dibaiki – Bung Moktar

Cerun runtuh KM2.1 Sandakan akan dibaiki – Bung Moktar

Sandakan: Kerja-kerja pembaikan cerun yang runtuh di KM2.1 jalan utama menuju ke pusat bandar berhampiran bulatan menara jam SM Sung Siew, di sini, akan dimulakan bulan depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk kerja-kerja membaik pulih cerun berkenaan yang runtuh ekoran faktor cuaca tidak menentu sejak awal tahun ini.

Bung Moktar bersama Vivian, Benedict, Harun dan wakil dari JKR Sandakan meninjau cerun runtuh di bandar Sandakan.

“Kita perlu perbaiki segera cerun yang runtuh ini kerana ianya merupakan laluan utama pengguna jalan raya ke pusat bandar selain ke kawasan sekolah yang berhampiran bagi mengelak runtuhan lebih besar, selain faktor keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau keadaan beberapa insfrastruktur jalan raya, jambatan dan tiang lampu yang rosak di sekitar bandar Sandakan, semalam.

Selain meninjau cerun yang runtuh di KM.2.1, Bung Moktar turut meninjau cerun runtuh berhampiran Taman Vun Wu, jambatan roboh di Kampung Sim-Sim dan tiang lampu tumbang di Jalan Batu 5.

Bagi cerun yang runtuh berhampian Taman Vun Wu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata beliau telahpun mengarahkan jurutera daerah Sandakan untuk mengemukakan cadangan dan anggaran kos peruntukan yang diperlukan bagi membaiki cerun berkenaan.

Begitu juga jambatan yang roboh di Kampung Sim-Sim, beliau turut meminta pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengkaji dan mengemukakan anggaran kos peruntukan yang diperlukan untuk membina jambatan baharu.

“Sebaik sahaja cadangan dan anggaran kos peruntukan dikemukakan kita akan majukan permohonan untuk memohon peruntukan daripada kerajaan negeri atau Pusat,” katanya.

Mengulas rungutan orang ramai mengenai kerosakan lampu jalan di beberapa tempat sekitar bandar Sandakan, Bung Moktar turut meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri serta MPS meneliti masalah itu dan mengemukakan cadangan bagi menukar lampu dan tiang yang mengalami kerosakan.

“Saya fikir elok kita gantikan lampu yang sedia ada dengan menggunakan lampu LED atau tenaga solar yang lebih lama ketahanannya berbanding lampu yang kita gunakan ketika ini,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Presiden MPS, Benedict Asmat; Timbalan Presiden MPS, Harun Arifin serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|