Bot dan 1,680 minuman keras seludup, dirampas

Bot dan 1,680 minuman keras seludup, dirampas

Labuan: Sebuah bot gentian kaca membawa muatan 1,680 minuman keras yang dipercayai cuba diseludup masuk ke tanah besar Sabah, berjaya dirampas, awal pagi tadi.

Bot berkenaan berjaya ditahan selepas dikesan dalam mencurigakan oleh bot peronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan pemantauan di sekitar lokasi, jam 1 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, pergerakan bot berkenaan berjaya dikesan dalam rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut di perairan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya cuba menahannya untuk pemeriksaan namun bot berkenaan terus bertindak memecut laju menuju ke kawasan paya bakau di persisiran Mempakul, Sabah.

“Hasil pencarian akhirnya membawa kepada penemuan bot gentian kaca berkenaan yang ditinggalkan bersama 1,680 tin minuman keras tanpa cukai daripada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.

“Bot dan muatan berkenaan terus disita dan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, pihaknya akan terus menjalankan usaha bagi mengesan pelaku yang dapat memboloskan diri.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan juga boleh membantu dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang salahlaku jenayah di laut,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|