Boby selamatkan Flat guru daripada terbakar terima penghargaan Hero Bomba

Boby selamatkan Flat guru daripada terbakar terima penghargaan Hero Bomba

Kota Marudu: Tindakan berani dan pantas seorang lelaki memadam kebakaran berjaya menghalang api daripada terus merebak dan memusnahkan flat guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Kota Marudu, mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Sijil penghargaan Hero Bomba kepada Boby Addy Nasry Mustapah, 42, disampaikan Ketua JBPM Zon 3 Kudat, Penguasa Bomba, Sahidih Mahali yang mewakili Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

Rony turut memberi cenderahati kepada Boby.

Hadir sama penyampaian itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan.

Sahidih berkata, penganugerahan sijil itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada Boby Addy atas tindakan terpuji membantu memadam kebakaran di Flat Guru SMK Tandek yang dilaporkan berlaku pada 2 Mac lalu.

“Boby berjaya menghalang kemerebakan api yang bermula dari bahagian kipas siling rumah menggunakan alat pemadam api.

“Ini juga menunjukkan pentingnya penyediaan alat pemadam api di rumah, selain pengetahuan dan tindakan tidak panik yang sepatutnya diambil sekiranya berlaku kebakaran di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu selepas penyampaian Sijil Penghargaan kepada ‘Hero Bomba’, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap apa yang berlaku dalam kejadian ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran.

“Tahniah Hero Bomba. Anda berjaya menyelamatkan kemusnahan harta benda dan serta kerugian yang lebih besar,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pihak JBPM menerima panggilan kecemasan seorang guru yang melaporkan kipas siling di dalam rumah terbakar.

Bagaimanapun, setibanya pasukan bomba di lokasi, kejadian kebakaran hanya melibatkan kipas siling api dipadamkan sendiri oleh jiran menggunakan alat pemadam api.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|