Bergelut dengan polis, warga asing ditahan miliki syabu 860 gram

Bergelut dengan polis, warga asing ditahan miliki syabu 860 gram

Tawau: Tindakan seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah yang nekad bergelut dengan polis untuk melepaskan diri gagal apabila berjaya ditahan di kawasan parkir Fajar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10.20 malam, suspek berusia lingkungan 30 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu dengan anggaran berat 860.79 gram bernilai RM23,911 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika serbuan dijalankan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memperkenalkan diri kepada suspek yang ketika itu berada dalam sebuah kenderaan.

Katanya, suspek kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas kenderaan itu menemui satu plastik lutsinar yang dibungkus plastik warna hitam mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis Methemphetamine atau syabu.

“Nilai anggaran dadah yang dirampas berjumlah RM23,911 dan hasil saringan air kencing suspek didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|