
Kota Kinabalu: Pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di kompleks beli belah di sekitar Kota Kinabalu sepanjang cuti sekolah ini antara inisiatif untuk meningkatkan lagi pemberian vaksin bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di Sabah.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu Dr Suhaila Osman berkata, inisiatif itu juga adalah bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang masih rendah ketika ini khususnya di Kota Kinabalu.
“Saya menyeru ibu bapa bertindak cepat kerana sekarang kita berada dalam tempoh cuti sekolah dan selepas sekolah dibuka kemungkinan anak-anak dijangkiti agak tinggi.
“Bagi menghasilkan imuniti dalam badan memerlukan tempoh masa kira-kira dua minggu, jadi ini masa yang tepat untuk membenarkan anak-anak diberikan vaksin dan kita menyediakan pelbagai tempat terutama di kompleks beli belah di pusat bandar kerana sambil ibu bapa membeli barang, mereka juga boleh mendapat vaksin di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung perkembangan PICKids di Kota Kinabalu ketika hadir pada operasi Operasi Penguatkuasaan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Bersepadu di Jalan Gaya, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, peluang itu harus diambil oleh ibu bapa sebagai persediaan untuk kanak-kanak memulakan sesi persekolahan pada 21 Mac ini.
“Menurut data yang dianalisis Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), bilangan kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) telah meningkat disebabkan kanak-kanak tidak pernah menerima vaksin sebelum ini.
“Jadi kemungkinan untuk mereka menerima jangkitan agak tinggi dan analisis kita juga kebanyakkan kes yang berlaku baru-baru ini ketika gelombang Omicron berlaku adalah di kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun,” katanya.
Terdahulu, Suhaila memaklumkan ibu bapa boleh mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka di pusat beli belah sekitar Kota Kinabalu dan Penampang termasuk di Imago, Centre Point, One Borneo, Klinik Kesihatan, Dewan Serbaguna Luyang dan Pusat Komersil Teknologi Antarabangsa (ITCC).
-Deasoka