Bekas wartawan mohon doa dan sumbangan sahabat, orang ramai

Bekas wartawan mohon doa dan sumbangan sahabat, orang ramai

Lahad Datu: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, itulah gambaran keadaan terkini bekas wartawan, Norwahida Yamaluddin, 46 yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar atau strok baru-baru ini.

Keadaan itu menyebabkan Norwahida mengalami kesukaran bergerak dan hanya bergantung kepada kerusi roda, sesuatu yang tidak pernah diduga akan berlaku dalam hidupnya.

“Saya kini hanya mampu baring dan duduk, sebelah badan saya tidak dapat bergerak dan masih dalam rawatan pemulihan, tolong doakan saya,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Maya dalam kalangan rakan wartawan.

Maya berkata, serangan angin ahmar berkenaan mengubah keadaan hidupnya daripada seorang yang aktif kepada hampir terlantar, semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Katanya, selepas berhenti sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar tempatan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini, dia berniaga kecil-kecilan untuk menjana pendapatan, namun semuanya terhenti selepas serangan angin ahmar berkenaan.

“Saya ada berniaga kecil-kecilan selepas berhenti kerja akibat Covid-19, saya jual pewangi sunnah (Bukhor) secara dalam talian namun kini saya tak mampu bergerak dengan lancar dan sekarang saya kehilangan sepenuhnya sumber pendapatan,” katanya.

Maya menjadi pemberita sejak 1996 dan bertugas di beberapa agensi atau syarikat akhbar di Sabah sebelum menamatkan perkhidmatan kira-kira dua tahun lalu akibat masalah ekonomi syarikat disebabkan pandemik Covid-19.

Sepanjang kerjayanya, Maya pernah menerima penghargaan tertinggi Pingat Kedaulatan Negara pada 2013 yang disampaikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas insiden pencerobohan Tanduo di Lahad Datu.

Beliau juga pernah menerima anugerah wartawan belia sebanyak dua kali sempena Hari Belia Negeri, Anugerah Shell pemberitaan (emas), penulisan rencana (emas) dan sukan (emas).

Kepada sesiapa yang ingin menyampaikan bantuan atau sumbangan boleh menghubungi Maya fi talian 013-5518181 secara panggilan atau mesej Whatsapp atau boleh menyalurkan terus sumbangan ke akaun MAYBANK 160036883272 (NORWAHIDA YAMALUDDIN)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|