
Putatan: Bekalan paracetamol masih boleh didapati di farmasi atau kedai serbaneka di negeri ini walaupun berlaku pembelian panik berikutan gelombang Covid-19 varian Omicron baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, bekalan ubat-ubatan itu kini sudah kembali stabil dan boleh didapati di pasaran.
“Dalam dua minggu lalu memang kita ada mengalami situasi di mana jenama Panadol itu agak laris di pasaran.
“Namun demikian, sebenarnya paracetamol masih ada dan masih boleh didapati di farmasi yang menjualnya,” katanya kepada media selepas meninjau PICKids di Sekolah Kebangsaan (SK) Contoh, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi di Sabah jika ada berlaku kekurangan bekalan paracetamol di pasaran.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, kekurangan bekalan itu adalah disebabkan kemuncak gelombang Omicron sehingga menyebabkan berlakunya pembelian panik oleh masyarakat setempat.
“Bagaimanapun, keadaan kembali stabil kerana ia terjadi ketika kemuncak Omicron terjadi maka ada sedikit pembelian panik atau orang membuat pembelian agak banyak daripada pembelian biasa,” katanya.
Sebelum ini, beberapa negeri dilaporkan mengalami kekurangan bekalan paracetamol di pasaran dan ubat itu sukar ditemui di premis termasuk di farmasi serta kedai serbaneka.
-Deasoka