Bantuan peranti percuma: Permohonan dibuka secara online 15 April

Bantuan peranti percuma: Permohonan dibuka secara online 15 April

Sandakan: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan membuka permohonan kepada semua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk dari kolej swasta, Politeknik atau pelajar kolej komuniti untuk mendapatkan tablet atau laptop percuma pada 15 April ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, peranti yang dimohon secara dalam talian (online) itu akan diserahkan pada Jun depan.

Menurutnya, kerajaan sangat memahami kesukaran ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk membeli peranti yang mencecah ribuan ringgit.

“Maka dengan itu, kerajaan melalui kementerian akan memberikan peranti secara percuma.

“Mulai 15 April kementerian akan buka satu portal online dimana sesiapa sahaja anak rakyat kita termasuk yang ada di luar bandar daripada kumpulan B40 terutama mereka yang mendapat tawaran masuk universiti dan yang sedang belajar di politeknik atau di kolej komuniti.

“Beritahu mak dan ayah tidak perlu keluarkan duit beribu-ribu nak beli laptop, tablet kerana mulai 15 April ini buat saja permohonan kepada kementerian secara online, kerajaan akan berikan tablet percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Santai Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama keluarga malaysia daerah Sandakan, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 450,000 peranti dijangka akan diedarkan untuk tahun ini melalui tiga fasa.

Annuar berkata, pihaknya juga memberikan jaminan bahawa peranti yang akan diberikan berkualiti tinggi.

“Saya harap pada bulan Jun minggu pertama kita akan mula mengedarkan tablet kepada mereka yang memohon yang mungkin akan melibatkan beratus ribu anak muda pelajar siswa siswi akan mendapat tablet berkualiti tinggi dan bukannya cap ayam.

“Saya jamin kita akan beri cap kualiti yang terbaik,” katanya.

Jelas beliau lagi, sebanyak RM450 juta diperuntukkan untuk perkara berkenaan.

Terdahulu, pemberian peranti percuma itu diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan bajet 2022 pada Oktober tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|