Bantuan DiDR dorong usahawan hasilkan lebih banyak produk tempatan

Bantuan DiDR dorong usahawan hasilkan lebih banyak produk tempatan

Ranau: Penerima geran Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DiDR) berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pengusaha dan produk tempatan.

Seorang penerima geran, Kanit @ Robert Atian berkata, menerusi bantuan yang disediakan, ia sudah pasti membantu pengusaha seperti mereka mencipta lebih banyak produk sekali gus mengharumkan nama negeri Sabah.

Katanya, dia akan menggunakan inisiatif kerajaan itu untuk mengembang dan memperbanyakkan produk Sabah dari semasa ke semasa.

“Kita sudah semestinya berharap untuk membawa produk hasil ciptaan sendiri menembusi bukan saja pasaran tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Memang sangat gembiralah sebab ramai pemohon hari ini yang menerima bantuan masing-masing. Saya salah seorang yang dapat bantuan penuh dengan pemberian sebanyak lima mesin cetak,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kedai IKS Mart Ranau, hari ini.

Kanit berkata, pembukaan kedai IKS Mart juga sudah semestinya memberi ruang memajukan industri kecil dan sederhana di negeri ini.

Seorang lagi penerima geran, Barbara Bongkok berkata, sebelum ini, produk Apai Kopi Ranau hanya mampu dipasarkan di Ranau.

Namun katanya, dengan adanya usaha seperti ini, produk jualannya kita sudah mampu melangkah pasaran yang lebih jauh dan luas.

“Ada beberapa pasaraya di beberapa daerah yang sedang dalam proses untuk berurus niaga dengan kami.

“Kita berharap, lebih banyak peluang disediakan untuk pengusaha tempatan dan mungkin selepas ini dapat menembusi ke pasaran global melalui Teraju Yayasan Sabah,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung Hapsin Maimin berkata, beliau amat berbesar hati dan gembira dengan usaha dilakukan kerajaan dalam membantu usahawan tempatan.

Katanya, penganjuran program seperti ini akan membantu usahawan kecil di daerah luar bandar memajukan perniagaan masing-masing.

“Harapan saya, selepas ini pihak kerajaan sentiasa membantu tidak kiralah dari segi peruntukan, promosi dan apa apa kemudahan perniagaan.

“Program yang diadakan juga kena bersasar mengikut kawasan. Jadi kerajaan kena ambil perhatian mengenai apa produk yang sesuai dipasarkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|