
Kota Kinabalu: Bangunan tidak lagi selamat diduduki selain dalam keadaan uzur berikutan sudah berusia lebih 50 tahun memaksa Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) yang mengurus pangsapuri Perumahan Kos Rendah Tanjung Aru, di sini, membuat keputusan mengosongkan bangunan terbabit.
Perkara itu dijelaskan Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah yang turut meminta maaf kepada penduduk terjejas yang diminta berpindah kerana LPPB terpaksa mengambil langkah itu demi keselamatan penghuni.

“Ini antara sebab utama mereka diarahkan untuk mengosongkan bangunan berkenaan dan notis sudahpun diberikan sejak tahun lalu berikutan keadaan struktur bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Semalam, Masiung turut hadir ke perumahan berkenaan bagi menyaksikan perpindahan penduduk seperti yang dirancang tujuh bulan lalu, namun proses pengosongan kediaman mendapat bantahan sebahagian besar daripada penyewa.

Mereka meminta supaya surat butiran penuh yang mengesahkan bangunan di perumahan yang didiami mereka itu tidak lagi selamat untuk didiami supaya dilampirkan kepada penduduk.
Masiung yang diminta untuk menjelaskan berkaitan perkara itu, berkata pihak LPPB sebagai pemilik penuh bangunan perumahan berkenaan tidak mahu diperdalahkan jika kejadian yang tidak diingini berlaku pada kemudian hari berikutan usia bangunan itu sudah lebih 50 tahun.
“Sebenarnya keputusan ini bukannya keputusan saya sendiri, malah hal ini pernah dibuat kerajaan sebelum ini, dan saya hanya meneruskan legasi sebelum ini.
“Saya tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan ini, melainkan sudah berpuas hati dengan penilaian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta nasihat dari pihak pentadbiran LPPB,” jelasnya.
Beliau berkata, pihak LPPB pernah menawarkan kepada mereka untuk berpindah menyewa di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik LPPB di kawasan lain namun penduduk menolak dengan alasan mahukan perumahan di kawasan yang berhampiran sahaja.
Selepas memberi penjelasan, Masiung menerima surat bantahan daripada penduduk yang diserahkan sendiri kepada beliau, sambil memohon maaf dengan segala apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Masiung menegaskan bahawa sudah tiada lagi lanjutan
tempoh untuk mengosongkan bangunan berkenaan melainkan hanya menunggu keputusan penuh LPPB.
Katanya, LPPB juga tidak akan mengutip sewa sepanjang tempoh berkenaan.
-Deasoka