
Semporna: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan satu cubaan penyeludupan minyak diesel dalam operasi di perairan Pulau Bohayen, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 2.10 petang itu, kapal kargo berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Radar Coastal Surveillance System (CSS) berhampiran Pulau Danawan.

Kapal berkenaan didapati sedang bergerak dari arah daerah Semporna menuju ke sempadan perairan Malaysia-Filipina, di Barat Daya Pulau Bohayen, di sini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan ATB2 berkata, berdasarkan pengesanan berkenaan, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) terus mengerahkan VIPER 04 bersama Tim QRF yang berada di kawasan OP PASIR Sektor Selatan segera melaksanakan pintasan.

Katanya, kapal kargo berkenaan yang berjaya dipintas terus diarahkan masuk ke Jeti Azumi untuk pemeriksaan terperinci.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan terdiri daripada lima awak-awak lelaki tempatan berusia 31 hingga 54 tahun.
“Pemeriksaan turut mendapati kapal kargo berkenaan membawa minyak diesel berkapasiti 70,000 liter yang dianggarkan bernilai RM150,500,” katanya.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal kargo berkenaan pula dianggarkan sebanyak RM650,500.
Katanya, kapal kargo berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua awak-awak kapal kargo berkenaan terus dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 9 malam.
“Semua barang rampasan juga diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kerjasama erat antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada ditahap yang terbaik.
Katanya, ia adalah bagi usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran di Perairan Pantai Timur Sabah.
Sementara itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota bertugas di POWB ATB 2, radar CSS dan Tim QRF atas kejayaan berkenaan.
Katanya, warga Markas ATB 2 diingatkan supaya kekal menjadi angkatan yang kredibel dan menerapkan kesiapsiagaan operasi tertinggi melalui “Precision Info, Precision Targeting and Precision Manouver”.
“Kejayaan kali ini membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan memastikan POWB mampu mengesan sebarang “ancaman” yang memasuki sempadan Perairan Pantai Timur Sabah.
“Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi.
“Melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah naungan ATB 2 secara berterusan, keselamatan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap terbaik dan terjamin,” katanya.
Abdul Karim berkata, anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan supaya sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani sebarang cabaran serta ancaman keselamatan dari semasa ke semasa.
-Deosoka