Tawau: Asrama Madrasah Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj di Bombalai, di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi.
Bagaimanapun semua 74 pelajar asrama pusat tahfiz berkenaan yang ketika itu sedang menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran terselamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.44 malam.
Katanya, seramai 16 anggota bersama lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Tawau.
“Menurut laporan, asrama madrasah jenis tidak kekal yang menempatkan kira-kira 74 pelajar tahfiz terbakar 70 peratus dan operasi memadamkan api segera dilakukan.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan difahamkan semua pelajar tahfiz berada di masjid yang terletak di seberang jalan untuk menunaikan solat tarawih,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.17 malam dan ketika ini operasi memadamkan api sepenuhnya sedang dilakukan.
“Operasi memadamkan bara api masih dijalankan oleh pasukan bomba dan maklumat terkini akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.
-Deasoka