
Kota Kinabalu: Anak jati Kota Belud bakal mengibarkan bendera Sabah di puncak Gunung Everest pada Mei depan menerusi Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022.
Adelinah Lintanga, 37, yang juga seorang pelari maraton akan merealisasikan impiannya sejak lima tahun lalu untuk menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Katanya, kali pertama beliau menjejakkan kaki di Nepal pada 2017 bagi menyertai Royal Penguin Ultra Marathon sejauh 60 kilometer yang diadakan di kaki Gunung Everest.
“Ketika itu, saya sudah menyimpan impian untuk datang semula ke Nepal mendaki Gunung Everest.
“Tidak sangka, permohonan saya menyertai Ekspedisi Everest kali ini membolehkan saya merealisasikan impian menawan puncak Everest,” katanya pada sidang media Program Keluarga Malaysia ‘Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan’ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, ibu kepada seorang anak itu berkata dia teruja kerana satu-satunya peserta yang terpilih dari Sabah selepas menghantar ‘resume’ untuk menyertai program itu pada Januari lalu.
Menurutnya lagi, dari segi persediaan fizikal dia sudah melakukanya dengan sebaik mungkin namun dari segi mental perlu dikuatkan lagi kerana pendakian memberi cabaran yang berbeza berbanding larian maraton.
“Saya akan menjalani latihan pendakian di Gunung Kinabalu dan dua gunung di Nepal sebelum meneruskan ekspedisi menawan Gunung Everest.
“Faktor cuaca yang sejuk dan ketinggian akan memberi cabaran yang hebat namun saya bersedia untuk mengharungi cabaran bagi memastikan kibaran bendera Sabah di puncak Everest dapat dilakukan.
“Saya akan berasa bangga sekiranya menjelang hujung Mei nanti, bendera Sabah boleh dikibarkan di puncak gunung tertinggi di dunia,” katanya.
Sementara itu, pendaki negara, T Ravichandran berkata, menerusi program itu, mereka akan bergerak dalam kumpulan yang disertai lima pendaki termasuk dua pendaki wanita dari Sabah dan Sarawak serta lima sherpa atau malim gunung.
“Kita sudah mengkaji risiko yang akan dihadapi dan akan cuba mengurangkan risiko tersebut namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca. Pendakian ini akan mengambil masa perjalanan selama 60 hari.
“Memandangkan kos bagi setiap seorang pendaki RM168,000, maka kami akan cuba mengumpul dana dan berharap mendapat sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau akan membawa perkara itu Kabinet negeri untuk melihat bantuan yang boleh diberikan bagi menyokong penganjuran program berkenaan.
-Deasoka