509 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 18 di Sabah

509 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 18 di Sabah

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mengeluarkan sebanyak 16,376 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang 10 hari Op Selamat 18 yang dijalankan sejak 28 April hingga 8 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding Ops Selamat 15 yang mencatatkan sebanyak 16,969 saman dikeluarkan.

Katanya, kes kemalangan pula mencatatkan peningkatan tujuh peratus iaitu sebanyak 37 kes menjadikan jumlah keseluruhan 509 kes berbanding 472 sebelum ini.

“Bagi kemalangan maut pula, statistik menunjukkan penurunan sebanyak lapan kes berbanding Op Selamat 15.

“Manakala bagi jumlah operasi yang dilaksanakan dalam Op Selamat 18 adalah sebanyak 242 operasi berbanding Op Selamat 15 dengan hanya 221 operasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Idris berkata, bagi kutipan kompaun pula, pihaknya merekodkan sebanyak RM65,300 kompaun sudah dijelaskan.

Manakala katanya, jumlah tangkapan pula adalah membabitkan 30 kes Akta Pengangkutan Jalan, dua Akta Kanun Keseksaan dan satu kes Akta Pendaftaran Negara.

“Walaupun Op Selamat 18 sudah berakhir, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah akan terus mengambil pendekatan maksima berkaitan keselamatan lalu lintas.

“Ia dilancarkan menerusi penguatkuasaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan kadar kemalangan di Sabah menurun,” katanya.

Idris berkata, tujuan utama Op Selamat ini adalah bagi membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya serta menangani kesesakan lalu lintas.

Selain itu katanya, ia juga membabitkan pemantauan terhadap kediaman yang tidak berpenghuni kerana bercuti atau pulang ke kampung halaman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|