
Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan Operasi Bersepadu Khas bagi merobohkan bagang yang melanggar undang-undang di perairan Inderasabah dan Kalumpang, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 8.30 pagi itu, penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah itu berjaya mengenalpasti sebanyak 50 bagang haram.

Semua bagang berkenaan didapati melakukan kesalahan seperti beroperasi tanpa lesen dan binaan yang berada di luar had kawasan dibenarkan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, operasi khas itu bertujuan mengesan kewujudan struktur bagang yang didirikan secara haram.
Katanya, penguatkuasaan itu seperti termaktub dalam syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan.
“Operasi ini juga bertujuan memberi peringatan kepada komuniti setempat yang menjalankan perusahaan hasil laut.
“Ia termasuk pengusaha bagang bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan dan syarat sah lesen yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi ini, Jabatan Perikanan mengeluarkan notis merobohkan bagang dengan memberi tempoh selama sebulan sebelum tindakan susulan diambil.
“Pelaksanaan operasi ini juga adalah bagi mematuhi arahan Mesyuarat Ops Gasak Laut yang memutuskan untuk mengambil tindakan mengeluarkan notis perobohan kepada pengusaha bagang yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Pembinaan struktur bagang di kawasan laut juga perlu diberi perhatian dan kawalan, kerana kewujudan struktur bagang haram yang berkemungkinan dijadikan persinggahan penjenayah melakukan jenayah di laut seperti rompakan dan penyeludupan,” katanya.
Siva Kumar berkata, pemantauan dari semasa ke semasa amatlah penting bagi memastikan keselamatan perairan negara terus dipelihara.
Katanya, Maritim Malaysia turut menyambut baik usaha sama yang dijalankan bagi melaksanakan operasi bersepadu antara agensi-agensi setempat.
“Kerjasama baik antara agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan negara terus diperkasa.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.
-Deasoka