Kota Kinabalu: Seramai 44 peserta bersaing untuk merebut gelaran Unduk Ngadau peringkat negeri sempena sambutan kemuncak Pesta Kaamatan 2022, pada Selasa depan.
Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri, Joanna Kitingan, berkata peserta terdiri daripada pemenang pertandingan Unduk Ngadau peringkat daerah dan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) termasuk dari Johor Bahru, Melaka, Lembah Klang dan Putrajaya.
Katanya, pertandingan itu kembali diadakan secara fizikal seperti sebelum pandemik Covid-19 selepas dua tahun tidak dapat diadakan berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, kelonggaran untuk mengadakan semula pertandingan itu secara fizikal turut membuka peluang yang baik untuk mempromosikan kembali pelancongan negeri, termasuk dalam sektor agro pelancongan dan alam semulajadi.
“Alam semulajadi adalah aset yang penting dan kita bertuah kerana dikelilingi alam semulajadi yang sentiasa terpelihara.
“Kefahaman peserta Unduk Ngadau mengenai kepentingan pemeliharaan alam semulajadi dan 17 Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga amat dititikberatkan dalam pertandingan kali ini,” katanya pada sidang media Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri 2022, di sini, semalam.
Sehubungan itu, katanya peserta Unduk Ngadau pada kali ini dikehendaki membuat satu rakaman video berdurasi seminit menggunakan bahasa ibunda berkaitan perkara berkenaan.
Beliau berkata, hasil rakaman itu akan dinilai dan diberikan markah ketika pertandingan akhir Unduk Ngadau di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang pada 31 Mei nanti.
Sementara itu, Joanna merakamkan penghargaan kepada penaja pertandingan itu pada kali ini, antaranya Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan, Suzie Van Der Lej, QPACK, Datuk James Ratib, Chua Kah Seng Supermarket Sdn Bhd, Sutera Harbour Resort dan North Borneo University College.
-Deasoka