39,250 calon di Sabah mula menduduki ujian bertulis SPM hari ini

39,250 calon di Sabah mula menduduki ujian bertulis SPM hari ini

Tuaran: Seramai 39,250 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sabah menduduki ujian bertulis peperiksaan berkenaan di 315 pusat peperiksaan seluruh negeri, mulai hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, jumlah itu adalah bilangan keseluruhan calon yang berdaftar dan mengambil peperiksaan SPM 2021 di seluruh negeri.

“Seramai 35,266 pelajar adalah calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan yang menduduki SPM di 256 pusat peperiksaan.

“Selain itu, seramai 406 calon dari sekolah agensi kerajaan iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan 227 calon dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) masing-masing menduduki SPM di empat pusat peperiksaan.

“Bagi 1,215 calon dari sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula, mereka mendudukinya di 16 pusat peperiksaan manakala bagi 2,136 calon persendirian, mereka mengikuti SPM di 35 pusat peperiksaan,” katanya dalam kenyataan sempena lawatannya ke pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, di sini, hari ini.

Mistrine berkata, mulai 2021 peperiksaan SPM terdiri daripada Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis.

Katanya, ujian bertutur, mendengar dan amali diadakan pada 8 Februari hingga 24 Februari lalu, sebelum disusuli ujian bertulis yang bermula hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil langkah yang proaktif di semua peringkat.

“Semua Pegawai Pendidikan Daerah diarahkan mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing dan bilik gerakan SPM JPNS bertempat di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan tingkat 7 Rumah Persekutuan Kota Kinabalu.

“Semua Pegawai Pendidikan Daerah telah mewujudkan Bilik Gerakan Peperiksaan masing-masing iaitu antara lainnya bertujuan menyediakan laporan harian peperiksaan khususnya melapor kehadiran calon pada setiap sesi peperiksaan termasuk jika ada calon hospital, calon tahanan dan sebagainya.

“Bilik Gerakan Negeri juga akan menghantar laporan kehadiran calon ke Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan KPM selewat-lewatnya jam 4 petang setiap hari peperiksaan menggunakan e-Kehadiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|