335 PATI warga Filipina dihantar pulang

335 PATI warga Filipina dihantar pulang

Sandakan: Seramai 335 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar ke negara mereka dalam satu Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 15 2022, melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Pengarah Imigresen Malaysia Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, daripada jumlah itu seramai 266 lelaki, 34 wanita dan 35 kanak-kanak.

PATI warga Filipina dihantar pulang.

Katanya, semua tahanan yang berusia 23 bulan hingga 69 tahun pada kali ini dipindahkan dengan menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri MV Antonia 1.

“Tahanan PATI yang terbabit pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Papar sahaja.

PATI warga Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

“Berbanding program pemindahan sebelum yang membabitkan tahanan dari semua empat depot di Sabah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, PATI yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh Sabah adalah PATI yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sebahagian daripada 335 PATI warga Filipina yang dihantar pulang melalui Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 15 2022.

Katanya, hukuman yang dikenakan ke atas semua PATI ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Tahanan Imigresen di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|