24 kanak-kanak klef bibir jalani pembedahan di Hospital Tawau

24 kanak-kanak klef bibir jalani pembedahan di Hospital Tawau

Tawau: Seramai 24 kanak-kanak yang mengalami klef bibir dan lelangit menjalani pembedahan di Hospital Tawau menerusi ‘Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022’ bermula hari ini hingga 12 Ogos.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata program itu adalah inisiatif yang diambil bagi menyelesaikan kes tertunggak pembedahan klef bibir dan lelangit di daerah ini dan sekitarnya.

Shahelmey merasmikan ‘Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022’ di Hospital Tawau.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 70 kes tertunggak dilaporkan di Hospital Tawau sejak dua tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.

“Program ini mendapat tajaan kos pembedahan daripada Kelab Rotary Tawau Tanjung dan kerjasama pakar-pakar bedah di negara ini.

“Kita sedia maklum, kos pembedahan ini mencecah sehingga RM4,000 dan ia sangat membebankan terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan,” katanya ketika merasmikan ‘Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022’, di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, di sini hari ini.

Shahelmey berkata, dengan adanya bantuan daripada Kelab Rotary Tawau Tanjung, ia dapat membantu menyelesaikan kes tertunggak sebelum ini.

Katanya, ia adalah usaha yang sangat baik, malah mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dan sangat bermakna kerana melibatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) kerana banyak memberikan kerjasama dengan hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau juga berharap ibu bapa yang mempunyai anak mengalami klef bibir dan lelangit segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|