200,000 rakyat Sabah bekerja di Semenanjung

Sipitang: Kira-kira 200,000 rakyat Sabah ketika ini berhijrah ke Semenanjung untuk bekerja dalam pelbagai sektor berikutan kurang peluang pekerjaan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berikutan itu kerajaan negeri berusaha untuk mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan di negeri ini supaya rakyat negeri ini tidak perlu lagi mencari kerja di tempat lain.

Hajiji bersama Ketua Bahagian BERSATU Sipitang, Datuk Matbali Musah menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri pada majlis berbuka puasa di Weston.

“Hampir 200,000 rakyat Sabah, tidak termasuk tanggungan mereka ketika ini bekerja di Semenanjung.

“Sebab itu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS – BN) memberi tumpuan menjadikan Sabah negeri mesra pelabur untuk menarik lebih ramai pelabur.

“Kita mahu bawa pelabur ke Sabah supaya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia tempatan kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sipitang, di Weston, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif fan Timbalan Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata setakat ini sebanyak 10 syarikat bakal melabur di Sabah, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di sini.

Syarikat terbabit, katanya sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi kerajaan negeri bagi melaksanakan projek masing-masing dengan nilai keseluruhan mencecah berbilion ringgit.

Beliau berkata, apabila dilaksanakan nanti, pelaburan syarikat terbabit bakal memberi manfaat kepada rakyat, khususnya belia di daerah ini dari segi peluang pekerjaan dan pusingan ekonomi.

Jelas Hajiji, meskipun berdepan cabaran ketika mula mengambil alih pentadbiran negeri, kerajaan GRS-BN berjaya menyediakan pelan pembangunan lima tahun Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan enam bulan selepas membentuk kerajaan negeri.

“Dalam tempoh setahun mentadbir negeri, kita berjaya menarik pelabur untuk datang dan sebahagiannya sudah menandatangani perjanjian untuk membuka operasi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, antara projek berimpak tinggi yang sudah muka dilaksanakan ialah dua di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan satu lagi di Paitan iaitu projek penanaman kelapa berpenghasilan tinggi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Hajiji turut meluluskan beberapa projek pembangunan untuk komuniti di Weston.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|