
Labuan: Seramai 20 warga Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Februari lalu.
Ketua Delegasi SMSL, Rohana Yasin berkata Kumpulan Pendaki SMSL yang dikenali sebagai Geng Hiking Excel (GHE) itu turut disertai guru, staf dan ibu bapa selaku wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, program pendakian itu bertujuan merapatkan lagi hubungan di antara warga SMSL, selain memberi peluang kepada pendaki melihat keindahan Gunung Kinabalu.
Berkongsi pengalamannya, jelas Rohana, mereka menjalani latihan selama sebulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara itu.

Katanya, program itu dirancang sejak 2019 lagi, namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Rohana berkata, mereka memulakan pendakian dari Pondok Timpohon pada pagi Khamis, 3 Februari lalu dan tiba di Panalaban pada jam 4 petang.

Mereka kemudian memulakan pendakian menuju ke puncak Gunung Kinabalu seawal jam 2 pagi dan tiba di puncak pada jam 6 hingga 7 pagi pada Jumaat, 4 Februari 2022.
Katanya, antara cabaran yang dilalui ialah mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada pada aras tinggi, selain hujan yang menyebabkan mereka terpaksa melalui jalan licin ketika menuruni Gunung Kinabalu.
“Namun semua cabaran dan halangan itu dapat diatasi dengan adanya sokongan daripada rakan-rakan dan juga pendaki yang lain.
“Alhamdulillah, semua pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Pendakian ini tidak mudah namun sudah pasti akan menjadi kenangan untuk kami sampai bila-bila,” katanya.
Beliau yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SMSL tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMSL, A Zailani Mumin dan semua guru yang memberi dorongan dan semangat.
-Deasoka