Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalankan sekurang-kurangnya 150 pemeriksaan setiap hari, di seluruh perairan Sabah.
Pengarah Maritim Malaysia, Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada lebih 15,400 pemeriksaan yang direkodkan pasukan berkenaan dalam tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja.
Katanya, ia tidak termasuk pemantauan stesen radar yang dikawal selia oleh Maritim Malaysia untuk perairan pantai barat manakala pantai timur pula di bawah jagaan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Walaupun di bawah seliaan dua agensi, namun kita akan berkongsi maklumat dari semasa ke semasa membabitkan kira-kira 5,000 pengesanan mencurigakan yang dikesan sepanjang tahun ini.
“Ia menjadikan keseluruhan 20,000 pemantauan dan pengesanan dengan hasil 110 tangkapan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penggambaran aktiviti Kapal KM Arau di bulan ramadan di perairan Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Mohd Rosli berkata, berdasarkan kepada rekod tangkapan dan jumlah pemeriksaan dijalankan, boleh diandaikan pematuhan undang-undang dalam kalangan masyarakat adalah tinggi.
Katanya, antara kesalahan yang sering dikesan adalah membabitkan jenayah penyeludupan, bekalan dadah dan Akta Kastam.
“Begitu juga dengan kesalahan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikuatkuasakan mengikut Akta Imigresen.
“Kesalahan ini pelbagai, tetapi kita merasakan dengan operasi yang dilaksanakan hasil kerjasama rakan-rakan penguatkuasa seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya, jenayah perairan di negeri ini akan terus dapat dikekang daripada terus berleluasa,” katanya.
-Deasoka