1,338 mangsa dikenal pasti terjejas kebakaran di Tawau

1,338 mangsa dikenal pasti terjejas kebakaran di Tawau

Tawau: Seramai 1,338 mangsa tinggal sehelai sepinggang selepas dianggarkan 700 rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas, di sini, musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, setakat ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Mangsa yang terjejas akibat kebakaran ditempatkan di transit sementara Kampung Kurnia Jaya dan Kampung Hidayat Batu 4, Tawau.

Bagaimanapun katanya, proses pendaftaran mangsa yang terjejas sedang dilakukan.

“Majlis Perbandaran Tawau (MPT) telah menyediakan tempat transit sementara untuk mangsa ketika ini di Rumah Adat Kampung Kurnia Jaya serta dewan dan masjid di Kampung Hidayat Batu 4, di sini,” katanya.

Proses pendaftaran mangsa kebakaran sedang dilakukan.

Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penguasa Kanan Bomba II, Sukur Hatta berkata, sehingga pagi ini dianggarkan 700 rumah musnah terbakar dalam kejadian itu.

“Pasukan bomba masih menjalankan tugas untuk menyiasat punca kejadian kebakaran berkenaan.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa di lokasi berkenaan juga masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|