11 warga asing diusir keluar

Semporna: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dihalang sebelum diusir keluar dalam operasi Op Taring yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA), di Pulau Mataking, di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu, semua warga asing terbabit dikesan ketika menaiki sebuah bot laju yang sedang bergerak ke arah Semporna.

Bot dinaiki 11 PATI dipintas sebelum diusir keluar dari perairan negara.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi dari Batalion 14 PGA Tawau, terus mengejar bot berkenaan sebelum berjaya dipintas untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dinaiki 11 orang yang gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil soal siasat mendapati, kumpulan terbabit adalah warganegara Filipina yang sedang dalam perjalanan ke Semporna.

“Bot yang dinaiki enam lelaki dan lima wanita terbabit terus diusir keluar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, pengusiran dibuat dengan mengiringi bot berkenaan sehingga keluar dari perairan Malaysia.

Katanya, pasukan operasi turut menasihati dan mengarahkan kumpulan PATI terbabit supaya tidak memasuki lagi perairan negara Malaysia secara salah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|