11 jam hilang, warga emas ditemui selamat

Sipitang: Kebimbangan keluarga berikutan kehilangan seorang lelaki warga emas di Kampung Ulu Sipitang, di sini, akhir melegakan apabila mangsa ditemui selamat 11 jam selepas dilaporkan hilang.

Lelaki berusia 81 tahun itu ditemui selamat oleh penduduk kampung yang turut membantu mencari mangsa kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Ulu Sipitang, ditemukan selamat pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 malam.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Mengikut laporan awal, mangsa warga emas terbabit dipercayai hilang selepas keluar membersihkan kawasan kebun miliknya.

“Pasukan bomba terus melakukan pencarian dalam keluasan radius 1 kilometer sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada jam 10.30 malam sebelum disambung semula pagi tadi.

Katanya, operasi disambung semula membabitkan keluasan radius tiga kilometer sebelum berjaya ditemui selamat.

“Mangsa ditemui selamat oleh penduduk kampung di kawasan Jalan Katipoh Ladang Kelapa Sawit, di sini.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada keluarga dan operasi ditamatkan pada jam 7.26 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|