10 rumah musnah terbakar di Kampung Contoh

10 rumah musnah terbakar di Kampung Contoh

Putatan: Sepuluh rumah di Kampung Contoh, Petagas, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun, semua penghuni dilaporkan selamat dalam kebakaran jam 9.20 malam itu.

Keadaan kebakaran rumah di Kampung Contoh, Petagas, Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, sebaik menerima maklumat sepasukan polis bersama anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada kebakaran ini berpunca daripada perbuatan khianat, beliau berkata, masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk mengetahui punca kebakaran.

“Biarlah pihak bomba yang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohammad Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 9.21 malam.

Katanya, seramai 32 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan BBP Kota Kinabalu bersama empat jentera dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, operasi pemadaman menggunakan satu aliran daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal api daripada merebak dan kebakaran memusnahkan 10 rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal dengan anggaran keluasan 210 meter persegi,” katanya.

Menurutnya, operasi terkawal pada 10.38 malam tadi dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|