Usaha lahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa

Usaha lahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa

Kota Kinabalu: Penganjuran Kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BMR) bawah 18 tahun dilihat mampu menjamin masa depan lebih baik untuk negeri ini melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.

Kejohanan yang diadakan bermula esok hingga Ahad itu memberi peluang kepada pemain usia remaja untuk diserapkan ke pasukan Piala Belia ataupun Liga Simpanan serta Akademi Bung Moktar Radin (ABMR) yang bakal ditubuhkan.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar berkata, ini adalah satu usaha SAFA memberi ruang kepada pemain remaja mempamerkan kemampuan masing-masing.

Katanya, untuk permulaan, seramai 60 pemain akan dipilih menerusi kejohanan ini oleh 11 jurulatih berpengalaman dan nama-nama besar yang ditugaskan sebagai panel pemilih.

“Antara panel pemilih yang dilantik adalah Datuk James Wong, Scott Ollerenshaw, Matlan Marjan, Jelius Ating, Burhan Ajui, Yahya Kasim, Andrew Majanggim, Johny Dominicus, Stanley Chew, Awang Sabtu dan Razali Zinin.

“Harapan utama kita adalah kejohanan ini mampu membekalkan pemain pelapis yang berpotensi besar secara berterusan untuk masa depan pasukan Sabah FC dan Malaysia amnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Azman berkata, program ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut kepada kesesuaian dan sasaran ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat berkata, usaha ini akan menjadi platform terbaik untuk mewujudkan pemain pelapis secara berterusan.

Katanya, untuk merealisasikan hala tuju, kejohanan ini memberi ruang kepada SAFA untuk mengenalpasti pemain berbakat yang mampu pergi ke peringkat lebih jauh.

“Kita mahu mencari pemain yang ‘bijak’ yang mempunyai keyakinan dan boleh berfikir semasa perlawanan.

“Saiz tidak menjadi masalah dan begitu juga posisi. Kedua-dua aspek ini boleh dibina dari semasa ke semasa menerusi latihan serta pendedahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|