Tutor cetus kluster di Sipitang

Tutor cetus kluster di Sipitang

Kota Kinabalu: Kes indeks seorang tutor remaja mencetuskan kluster baharu di Sabah, pada hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster dikenali sebagai Kluster Kampung Melaman, Sipitang itu menyumbang kepada jumlah 37 kes positif.

Menurut beliau, kluster itu mula dikesan pada 9 Julai lalu di Klinik Sindumin, Sipitang melibatkan saringan gejala tujuh sekeluarga yang menunjukkan gejala.

“Kes indeks merupakan tutor wanita, 17, mengajar di rumah keluarga terbabit dan bergejala serupa sejak 26 Jun lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

” Susulan pengesanan dan saringan kontak yang dijalankan, terdapat pertambahan kes yang melibatkan kaitan epidemiologi yang sama iaitu sejarah menghadiri majlis agama di Kg Melamam.

” Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini ialah 37 kes termasuk 14 kes baharu,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Terdahulu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 286 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,136 kes.

“Empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu Tawau, Sandakan,Lahad Datu dan Kota Kinabalu masing-masing mencatatkan satu kes.

“Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat, “katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|