Tiga beradik terus berbakti di usia emas

Tiga beradik terus berbakti di usia emas

Penampang: “Walaupun sudah berusia tetapi kami tidak menganggap tugasan sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) ini suatu beban kerana niat kami hanya untuk membantu masyarakat.

“Malahan penugasan di dua PPV iaitu Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Penampang dan The Pacific Sutera Kota Kinabalu memberikan pengalaman berbeza daripada kebiasaan kerana ia melibatkan pemberian vaksin,” kata kak sulung dari tiga beradik sukarelawan warga emas, Lim Sat Chu, 68.

Ketika ditemui di PPV Dewan Hongkod Koisaan KDCA baru-baru ini, Sat Chu berkata, menjangkau usia warga emas bukanlah penghalang buat mereka tiga beradik untuk menyumbangkan khidmat bakti sebagai sukarelawan di PPV.

Anak sulung dari lapan beradik itu berkata, dia bersama dua adiknya, Lim Suat Hong, 67, dan Lim Chu wah, 60, amat teruja untuk bertugas di PPV Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang sejak 1 Julai lalu selain turut bertugas di PPV The Pacific Sutera mengikut jadual ditetapkan.

“Bergelar sukarelawan di Yayasan Buddha Tzu Chi (Su-Chi) Taiwan-Malaysia sejak hampir 30 tahun lalu, kami amat gembira dapat melaksanakan khidmat masyarakat terbabit bersama dua adik kandung,” katanya.

Dalam pada itu, adik keduanya, Suat Hong, 67, berkata, keluarga dan rakan rapat pernah menzahirkan kebimbangan ekoran penugasan bersama kakak serta adiknya selaku seorang sukarelawan dilihat mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, dia tidak berdepan kerisauan yang melampau ekoran sudah menerima dua dos suntikan vaksin selain sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugasan.

“Rasa bimbang tetap ada tetapi saya percaya setiap kebaikan yang dilakukan bersama adik-beradik akan mendapat pulangan terbaik termasuklah rezeki dan kesihatan,” katanya.

Manakala bagi adik keenam, Chu Wah, pula menyifatkan, pembabitan selaku salah seorang sukarelawan di PPV berkenaan dilihat sebagai sumbangan kepada masyarakat khususnya di sekitar daerah Penampang.

“Mungkin ada pihak melihat sumbangan kami ini sesuatu yang kecil namun hakikatnya ia membantu petugas kesihatan lain melancarkan proses pembarian vaksin kepada orang awam.

“Namun tugas saya dan dua lagi kakak di ppv sentiasa berubah bergantung jadual diberikan ketua kumpulan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong memaklumkan
PPV Dewan Hongkod Koisaan KDCA ketika ini mampu memberikan suntikan vaksin bagi antara 150 sehingga 300 orang penerima sehari.

“Tetapi jumlah itu dijangka meningkat sekitar 500 sehingga 800 orang sehari menjelang bulan Ogos sejurus bekalan vaksin tiba di Sabah,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|