Taman dinosaur di Jurassic Land Kiulu

Taman dinosaur di Jurassic Land Kiulu

Tuaran: Berkongsi minat yang sama terhadap dinosaur, mendorong tiga sahabat membuka sebuah taman bertemakan keluarga yang menggunakan elemen haiwan pra sejarah itu sebagai tarikan utama.

Dinamakan Jurassic Land Kiulu, taman rekreasi yang baru dibangunkan di Kiulu itu dijangka dibuka untuk kunjungan orang ramai apabila Sabah memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.

Pengasasnya, Ady Kim berkata taman seluas tiga ekar itu menyajikan sembilan jenis patung animatronik dinosaur kepada orang ramai yang berkunjung ke satu-satunya ‘Jurassic Park’ di Sabah itu nanti.

Beliau berkata, walaupun industri pelancongan kini berdepan tempoh sukar akibat pandemik Covid-19, ia bukan halangan untuk membangunkan produk pelancongan baharu seumpama itu.

“Dalam setiap kemelesetan dan pandemik pasti sentiasa ada peluang. Kita memahami sektor pelancongan berada dalam tempoh yang sangat sukar sekarang tetapi orang ramai masih perlu keluar juga nanti.

“Kanak-kanak terkurung begitu lama di rumah, jadi kita berharap dapat menyediakan sebuah tempat untuk keluarga datang melawat apabila situasi semakin baik.

“Jurassic Land adalah satu tempat yang dekat, tidak perlu pergi jauh untuk menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan orang yang tersayang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ady berkata, idea membina taman yang diurus syarikat Visiont Ventura itu tercetus melalui sesi kedai kopi bersama dua rakannya, Sam Chan dan Jason Poi.

Ketiga-tiga mereka adalah peminat filem Jurassic Park yang mengisahkan kemunculan semula dinosaur dengan pelbagai elemen dramatik yang menarik peminat filem aksi dan pengembaraan.

“Kami memilih Kiulu disebabkan oleh persekitarannya yang hijau dan semulajadi, sangat sesuai untuk dijadikan lokasi Taman Tema Dinosaur.

“Tapak taman ini mempunyai pemandangan Gunung Kinabalu yang sangat cantik. Selain itu, Kiulu adalah permata yang belum banyak diterokai dan mudah dihubungi dari sekitar Kota Kinabalu.

“Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti berakit, mendaki bukit dan merentas hutan. Di Jurassic Land Kiulu, kita menyediakan pameran dinosaur, kafe, Flying Zip-line, Jumpoline dan Cycle 8 Park,” katanya.

Baru-baru ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai bersama Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jimit turut melawat ke taman berkenaan untuk meninjau apa yang ditawarkan kepada pengunjung.

Joniston yang juga Pengerusi STB, berkata pembukaan Jurassic Land Kiulu dapat memacu pelancongan luar bandar, khususnya di Kiulu dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Keberanian untuk membangunkan perniagaan baharu pelancongan dalam tempoh pandemik sesuatu yang harus dipuji. Saya yakin ini adalah produk baharu yang ditunggu-tunggu untuk diterokai apabila aktiviti pelancongan selamat untuk dibuka semula.

“STB sentiasa menggalakkan pemain industri pelancongan dan penduduk tempatan untuk tampil dengan produk pelancongan yang unik bagi menyediakan pengalaman baharu yang menarik kepada pengunjung dan pelancong,” katanya.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu turut berharap agar lebih banyak syarikat melabur dalam pembangunan pelancongan di Kiulu yang antaranya turut terkenal dengan aktiviti berakit, merentas dan berbasikal bukit.

Katanya, kepelbagaian tarikan pelancongan dapat menggalakkan pengunjung tinggal lebih lama di Kiulu, sekali gus mewujudkan pusingan ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|