Status sekatan 9 daerah berubah apabila capai 60 peratus dewasa lengkap vaksin

Status sekatan 9 daerah berubah apabila capai 60 peratus dewasa lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menilai semula prestasi imunisasi Covid-19 di sembilan daerah yang masih dikenakan sekatan rentas daerah kerana belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah yang berjaya mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin akan beralih ke sekatan mengikut zon yang ditetapkan

“Kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan mengkaji dan menilai semula prestasi imunisasi di daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin.

“Daerah yang berjaya mencapai sasaran itu dengan sendirinya melayakkan penduduk bergerak dalam kawasan zon yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 18 daerah beralih ke sekatan mengikut zon bermula hari ini, manakala sembilan daerah lagi kekal dikenakan sekatan rentas daerah kerana belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Sembilan daerah terbabit ialah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan.

Sebanyak lima zon diwujudkan bagi sekatan mengikut zon iaitu Zon 1 hingga Zon 5 yang mana tiada sekatan dikenakan kepada penduduk untuk merentas daerah dalam zon yang sama.

Zon 1 merangkumi daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud, manakala Zon 2 membabitkan daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.

Zon 3 pula merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran, diikuti Zon 4 yang merangkumi daerah Lahad Datu dan Kunak serta Zon 5 yang membabitkan daerah Keningau, Tambunan dan Tenom.

Sementara itu, Masidi menegaskan kelonggaran menerusi sekatan pergerakan mengikut zon dibuat untuk membantu menyemarakkan semula aktiviti ekonomi.

Namun, katanya kelonggaran itu bukan bermakna orang ramai bebas bergerak tanpa perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana pandemik Covid-19 masih berlaku.

“Hari ini ialah permulaan pelaksanaan sistem rentas daerah mengikut zon. Kelonggaran ini dibuat untuk membantu menyemarakkan semula kegiatan ekonomi rakyat yang banyak terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Kita belum memenangi peperangan melawan virus Covid-19. Adalah diharapkan kelonggaran bergerak ini akan dilihat oleh penduduk sebagai meletakkan tanggungjawab ke atas bahu mereka untuk memastikan pematuhan secara total kepada semua SOP dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Vaksin tidak melindungi 100 peratus daripada jangkitan virus Covid-19. Yang melengkapkan perlindungan ialah sikap kita sendiri untuk sentiasa melindungi diri kita dan keluarga kita daripada terdedah kepada jangkitan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|