Serah pimpinan GRS, tentukan haluan hadapi PRU-15

Serah pimpinan GRS, tentukan haluan hadapi PRU-15

Kota Kinabalu: Pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat untuk mengadakan perbincangan sesama mereka untuk menentukan haluan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama pimpinan GRS yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor bersama rakan-rakan di Sabah.

Katanya, beliau percaya GRS sudah mewujudkan tanggapan yang baik dalam kalangan rakyat di Sabah untuk meneruskan kepimpinan kerajaan negeri.

“Saya rasa kerajaan pimpinan Ketua Menteri yang sudah setahun ini dengan pelbagai inisiatif tentunya memberi faedah kepada rakyat.

“Jadi kita putuskan supaya Datuk Hajiji dan rakan-rakan yang ada dalam GRS di peringkat negeri boleh berbincang dan dapatkan satu kata putus mengenai pendirian dan haluan yang jelas menghadapi PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan kepimpinan Bersatu Negeri Sabah.

Muhyiddin berkata, peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah selesai dibincangkan dan bagi peringkat Parlimen pula perbincangan akan dibuat mengikut pernilaian bagaimana untuk mewujudkan kerjasama atau sebaliknya.

Katanya, ia bergantung kepada hasil perbincangan yang akan diputuskan nanti sebelum keputusan akhir dibuat.

“Sabah mempunyai sedikit kelainan berbanding keadaan di Semenanjung. Saya kira fakta itu perlu diambil kira supaya akan ada satu keputusan baik untuk semua.

“Persiapan perlu dimulakan dengan mengadakan beberapa strategi untuk memastikan Sabah terus kekal dibawah GRS dan saya sudah menyatakan pentingnya untuk kita mempunyai satu hala tuju yang jelas mengenai bentuk kerjasama yang perlu dijalinkan antara parti-parti di Sabah,” katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata, Bersatu sudah mempunyai pendirian dan sekiranya UMNO tidak mengubah keputusan maka mereka terpaksa bertembung dalam PRU akan datang.

Katanya, Bersatu mempunyai pengalaman dan membuat pelbagai kajian penyelidikan berhubung reaksi dan respons rakyat.

“Yang penting bukan parti politik tetapi apa yang rakyat kata. Rakyat akan melihat dari sudut siapa yang mereka percaya mampu memberi apa saja bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan terutamanya ketika pandemik Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|