Sabah perlukan bajet lebih besar – Bung Moktar

Sabah perlukan bajet lebih besar – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Peruntukan pembangunan infrastruktur diterima Sabah dalam Bajet 2022 perlu ditambah kepada antara 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah yang diberikan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata RM5.2 bilion yang disediakan dalam bajet itu tidak mencukupi memandangkan Sabah berdepan banyak masalah infrastruktur.

“Pelaksanaan program pembangunan infrastruktur berkaitan bekalan air, jalan raya, jambatan dan elektrik memerlukan dana yang besar setiap tahun.

“Namun saya lihat, peruntukan untuk projek pembangunan di Sabah tidak mencukupi, sepatutnya lebih banyak diberikan iaitu 10 peratus hingga 15 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang disediakan.

“Ini kerana banyak keperluan pembangunan bekalan air, jalan raya, jambatan dan elektrik yang masih diperlukan di kawasan luar bandar Sabah lebih-lebih lagi saiz Sabah agak besar,” katanya mengulas Bajet 2022 yang menyentuh peruntukan kepada Sabah.

Semalam, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kenaikan peruntukan kepada RM5.2 bilion untuk pembangunan kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik, selain kemudahan pendidikan serta kesihatan di Sabah pada tahun depan.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata walaupun banyak projek dibiayai melalui bajet tahun depan, masih ada lagi yang perlu ditambah berdasarkan keperluan semasa di Sabah.

Katanya, tidak dinafikan kerajaan Pusat memberi keutamaan untuk melaksanakan projek mendesak seperti menaik taraf sekolah daif tetapi masih ada lagi yang perlu diberikan perhatian.

Selain peruntukan RM5.2 bilion itu, Sabah turut diberi peruntukan untuk menaik taraf 112 sekolah daif di bawah peruntukan untuk sekolah daif seluruh negara yang berjumlah RM746 juta, selain RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Bung Moktar berkata kerajaan Pusat juga perlu memberi perhatian kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Kita mahu projek Lebuhraya Pan Borneo ini dilaksanakan segera, bukan pakej demi pakej yang diberi peruntukan setiap tahun. Kalau hanya satu atau dua pakej diberikan setahun, berpuluh tahun pun belum siap lagi,” katanya.

Menerusi bajet tahun depan, kerajaan Pusat menyediakan peruntukan untuk meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion termasuk untuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan projek penting lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|