Sabah Energy bayar dividen RM10 juta

Sabah Energy bayar dividen RM10 juta

Kota Kinabalu: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) hari ini membayar RM10 juta dividen kepada kerajaan negeri bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Harun Ismail, berkata dividen itu meningkat berbanding RM8.5 juta pada 2019 meskipun berdepan cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Beliau menyerahkan cek dividen berkenaan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Rusdin Riman dalam satu majlis yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub dan Timbalan Pengerusi SEC, Hasan A Gani Pg Amir.

Harun berkata, berbanding modal berbayar sebanyak RM299.9 juta yang disediakan kerajaan sebelum ini, keuntungan terkumpul selepas dilaburkan semula sejak beberapa tahun lalu membolehkan dana pemegang saham meningkat kepada lebih RM1 bilion pada akhir tahun lalu.

Sebagai tambahan, katanya SEC sehingga kini sudah membayar dividen terkumpul sebanyak RM222.5 juta kepada kerajaan negeri.

Katanya, SEC terus komited dalam usahanya untuk mengekalkan keuntungan dan mengukuhkan perniagaan dalam tempoh pandemik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|