Rusuhan kecil di Depoh Tahanan Imigresen Kota Kinabalu

Rusuhan kecil di Depoh Tahanan Imigresen Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Tidak puas hati kerana proses penghantaran balik ke negara asal tertangguh, hampir 400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu merusuh, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, semua penghuni berkenaan dipercayai warga Filipina hanya dapat meloloskan diri dari lokap namun tidak berjaya melepasi pagar lokap berkenaan.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sabah (Operasi) Masri Adul berkata, siasatan awal mendapati, kejadian bermula daripada blok yang menempatkan tahanan wanita.

Katanya, sekumpulan tahanan wanita itu mengaku terlalu ‘stress’ dan meminta supaya segera dihantar balik ke negara mereka.

“Provokasi itu didengari oleh blok tahanan lelaki yang terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

“Penghuni tiga blok lelaki kemudiannya berjaya merosakkan kunci mangga pintu lokap mereka dan terus keluar ke kawasan lokap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masri berkata, sebaik menyedari kejadian itu, pihak DTI terus menghubungi polis dan ibu pejabat imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, seramai kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikerah ke lokasi kejadian.

“Kejadian rusuhan kecil itu akhirnya berjaya dikawal dan rundingan terus dijalankan oleh saya sendiri bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

“Dalam rundingan itu, kami menerangkan secara lanjut kepada penghuni pusat berkenaan mengenai situasi sebenar berhubung proses penghantaran semula yang terpaksa ditangguhkan.

“Kita menjelaskan penghantaran balik itu ditangguhkan atas permintaan pihak Kedutaan Filipina sendiri disebabkan beberapa perkara termasuk berkaitan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Masri berkata, rundingan itu berlanjutan sehingga hampir sejam sebelum semua tahanan terbabit setuju dan kembali ke lokap masing-masing.

Sementara itu, Masri berkata, pasukan polis akan menempatkan seramai 30 anggota di DTI ini untuk tempoh beberapa hari bagi memantau keadaan di sini.

“Tiada sebarang kerosakan yang berlaku dalam insiden ini dan pemantauan juga akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|