Rakus membawa padah

Rakus membawa padah

Sandakan: Kerakusan empat penyeludup untuk mengaut untung dengan cubaan menyeludup sejumlah barangan terkawal akhirnya membawa padah apabila mereka berjaya dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) dalam kejadian di kawasan Pulau Bai, awal pagi tadi.

Keempat-empat lelaki berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan ketika difahamkan membawa barang kawalan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, ketika menjalankan tugas risikan, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke laut lepas.

Katanya, pasukan PPM terus menahannya untuk pemeriksaan dan mendapati bot berkenaan dinaiki seorang juragan bersama tiga awak-awak.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada barang kawalan dalam bot berkenaan seperti beberapa kotak minyak masak dan Mee kering.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM46,348 termasuk nilai enjin dan jongkong yang dirampas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap juragan bot turut didapati memilik dadah disyaki jenis syabu dan saringan air kencing adalah positif.

Katanya, semua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.

Sementara itu, Rusdin berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|