PPM rampas 4.3 kilogram syabu

PPM rampas 4.3 kilogram syabu

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya merampas 4.3 kilogram dadah jenis syabu dalam operasi Op Benteng Covid, di Kampung Hidayat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.42 malam itu, pasukan PPM mengesan dua bot yang dinaiki tiga lelaki bergerak di perairan kampung berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, sebaik cuba dihampiri, ketiga-tiga lelaki terbabit terus terjun ke laut sebelum menghilangkan diri dari lokasi kejadian.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, pemeriksaan awal terhadap bot berkenaan membawa kepada penemuan satu beg mengandungi lima bungkusan hitam pelbagai saiz.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi plastik lutsinar disyaki ketulan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 4.3 kilogram.

Dadah jenis syabu seberat 4.3 kilogram dan dianggarkan bernilai RM197,640 dirampas.

“Bot berkenaan kemudiannya ditunda ke Markas Operasi Polis Marin Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua bot bersama enjin 200hp dan 15hp serta dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM426,725 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Nazari berkata, kes akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Mohd Nazari berkata, PPM amat mengalu-alukan masyarakat supaya membantu menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan mereka.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 untuk tindakan segera.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|