‘Port’ penagihan syabu, diserbu

‘Port’ penagihan syabu, diserbu

Sipitang: Sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat penagihan dadah di Kampung Tanjung Pagar, di sini, diserbu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, kelmarin.

Hasil operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu berjaya menahan tiga lelaki tempatan bersama ketulan hablur lutsinar dipercayai syabu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, semua ketiga-tiga lelaki terbabit terus ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sipitang untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi diteruskan lagi dan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan oleh anggota Ronda Pencegahan Jenayah Balai Polis Sipitang.

“Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati, keempat-empat lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Sehubungan itu, Champin berkata, pihaknya akan meneruskan operasi Op Sarang di kawasan daerah Sipitang untuk mengesan pengedar, pembekal dan penagih dadah.

Katanya, mereka yang terbabit dalam kegiatan penagihan syabu bukan saja menyebabkan kerosakan akhlak tetapi juga keluarga berdepan masalah rumahtangga sehingga bercerai-berai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|