Polis Tuaran lupus minuman keras RM85,000

Polis Tuaran lupus minuman keras RM85,000

Tuaran: Pelbagai jenis minuman keras bernilai RM85,000 dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, semua barang rampasan berkenaan dilupuskan selepas mendapat arahan daripada Mahkamah Majistret.

Katanya, pelupusan barang kes berkenaan membabitkan barang tidak bercukai yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Semua barang kes ini adalah hasil rampasan daripada kejayaan rampasan sekitar tahun 2019 dan 2020.

“Ia membabitkan penahanan empat lori dengan muatan minuman keras minuman keras sebanyak 1,687 karton di kawasan Tamparuli, di sini, dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM85,000,” katanya ketika ditemui di tapak pelupusan berkenaan, hari ini.

Hamizi berkata, pelupusan berkenaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh mahkamah dan jentera berat turut digunakan untuk memusnahkan barang rampasan.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi berkata, masyarakat Tuaran dinasihatkan supaya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan penyeludupan.

Katanya, orang ramai juga diminta untuk tampil menyalurkan maklumat mengenai sebarang kejadian aktiviti penyeludupan haram kepada polis supaya tindakan dapat diambil dengan segera.

“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya ke atas sebarang kejadian jenayah dan maklumat yang disalurkan terutamanya berkenaan dengan aktiviti penyeludupan haram sekitar Daerah Tuaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|