Pemandu maut selepas kenderaan terbabas

Pemandu maut selepas kenderaan terbabas

Lahad Datu: Seorang pemandu pacuan empat roda maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Silam, Taman Maju, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, pemandu kereta Ford Ranger Tan Khin Hoe, 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.53 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan pacuan empat roda yang terbabas masuk ke longkang di tepi jalan berkenaan.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi sebarang kemerbahayaan yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 5.52 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|