Tuaran: Seorang pemandu Jabatan Penjara Sandakan maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 29, Jalan Tamparuli-Ranau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 33 disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, seorang lagi rakan sekerja mangsa lelaki berusia 43 tahun yang cedera di kepala masih mendapatkan rawatan di hospital sama.
Selain itu katanya, seorang tahanan lelaki berusia 32 tahun duduk di bahagian penumpang belakang turut mengalami kecederaan.
Kenderaan Jabatan Penjara dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh lori. Gambar ihsan PDRM
“Kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda Toyota Hilux Jabatan Penjara dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Akibat kejadian itu, kenderaan mangsa merempuh bahagian depan lori dipandu lelaki berusia 45 tahun yang datang dari arah bertentangan ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis memohon saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Deasoka