Pelancaran pelan strategik 5 Divisyen

Pelancaran pelan strategik 5 Divisyen

Kota Kinabalu: Penubuhan pasukan baharu akan mampu memantapkan dan melengkapkan pengoperasian Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div).

Ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negeri Sabah sentiasa terpelihara.

Panglima 5 Div Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, 5 Div ini baharu mencapai usia dua tahun dan ia memerlukan komitmen warganya bagi membina Divisyen yang berjaya dalam sebarang misi.

Katanya, sejak ditubuhkan, pasukan ini sudah berusaha sedaya upaya melaksanakan pelbagai tugas termasuklah Projek Jiwa Murni (PJM).

“Pasukan ini juga bekerjasama menyertai operasi khas dan operasi rutin bersama agensi keselamatan lain dalam menjaga keselamatan serta kemakmuran Sabah.

“Usia bukan satu cabaran tetapi ianya adalah satu platfom untuk meneruskan lagi usaha kita dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang sudah diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Hari Ulang Tahun ke-2 Formasi 5Div di Kem Lok Kawi di sini semalam.

Mohd Halim berkata, pasukan baharu yang akan ditubuhkan pada tahun hadapan di 5Div termasuk Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Ke-22 Artileri Diraja dan Rejimen Ke-35 Artileri Diraja.

Selain itu katanya, penubuhan baharu itu juga membabitkan Tim Nukleus Markas Altileri Divisyen dan Tim Nukleus Rejimen Kelima Semboyan Diraja yang diharap dapat melengkapkan lagi penugasan 5Div.

“Pewujudan pasukan baharu bersama-sama pasukan sedia ada itu juga mampu meletakkan 5Div secara lebih efisien dan efektif dalam melaksanakan tugas.

“Sebagai contoh jika sebelum ini kita mampu membina 10 rumah, kali ini dengan adanya Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja, ia akan mampu membina 20 ke 30 rumah berbekalkan kepakaran serta pengetahuan yang ada.

“Bagi merealisasikan lagi aspek pengukuhan 5Div, tumpuan akan diberikan dalam meningkatkan lagi kesiagaan termasuk dalam aspek keselamatan serta operasi dan latihan.

“Begitu juga dengan aspek tadbir urus serta pengurusan sumber manusia dan logistik juga memerlukan perancangan rapi,” katanya.

Mohd Halim berkata, walaupun sebagai formasi paling muda dalam Tentera Darat, 5Div akan terus berkembang maju dan terus komited menjadi satu angkatan yang unggul dengan membawa visi, misi dan nilai teras tersendiri.

Sementara itu, ketika perkembangan lain, Halim berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan penugasan bagi mengekang sebarang kemasukan anasir luar termasuk kumpulan Militan Abu Sayyaf (ASG).

Katanya, walaupun penugasan untuk kumpulan ASG ini adalah tugas PDRM namun pihaknya akan terus membantu agensi keselamatan lain dalam mengekang kehadiran militan.

“Ia membabitkan pelbagai operasi di sekitar sempadan seterusnya menggagalkan penyusupan masuk kumpulan penjenayah ke negara ini.

“Kita melaksanakan operasi di sepanjang pesisiran pantai terutama kawasan pantai timur Sabah yang dikawal oleh anggota kita di lebih 30 pulau.

“Ia bagi meningkatkan kesiagaan setiap masa untuk mengawal ancaman dari penjenayah rentas sempadan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|