PAS Sabah sokong GRS didaftar

PAS Sabah sokong GRS didaftar

Kota Kinabalu: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyambut baik cadangan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi.

Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan, berkata ia adalah langkah terbaik untuk menjamin keharmonian dan kesederhanaan dalam politik Sabah.

Katanya, ia juga bersesuaian dengan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tahun lalu.

“Kemenangan dalam pilihan raya lalu adalah satu mandat yang menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kesatuan dan persefahaman pelbagai parti politik.

“Persefahaman ini mesti dikekalkan dan sehingga kini kerajaan GRS telah terbukti mesra rakyat khususnya dalam menghadapi masa sukar ketika pandemik Covid-19.

“Pelbagai program yang menunjukkan keprihatinan kerajaan dijalankan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, sehingga kini, politik Sabah di bawah GRS terus berjalan dengan baik walaupun pelbagai senario berlaku dalam politik kerajaan Pusat dan beberapa negeri di Semenanjung.

PAS yang menjadi sebahagian rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat turut berperanan dalam GRS di bawah PN negeri, malah buat pertama kali mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah melalui pelantikan Aliakbar sebagai ADUN Dilantik.

Pagi tadi, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan supaya GRS didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi dalam usaha memperkasa gabungan berkenaan dan mengelak perpechan, khususnya di antara PN dan Barisan Nasional (BN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|