Operasi hari ketiga diteruskan

Operasi hari ketiga diteruskan

Kota Kinabalu: Setakat jam 11 pagi hari ini, operasi mencari dan menyelamat masih gagal menemui mangsa, Simon Sange Tupe, 68, yang hilang dalam kejadian membabitkan Perodua Myvi di Sungai Kionsom, Jumaat lalu.

Operasi dijalankan bermula dari kawasan kejadian tempat kenderaan hanyut sehingga kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodon, Inanam, di sini, sejauh 4 kilometer.

Operasi kemudiannya dihentikan seketika bagi memberi peluang kepada anggota dan pegawai pihak berkuasa untuk berehat dan mendapatkan keperluan sebelum meneruskan operasi selepas ini

Difahamkan, operasi disambung semula pada jam 12 tengah hari tadi, bermula dari kawasan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, fokus pencarian hari ini adalah membabitkan lokasi bermula dari tempat kejadian.

Katanya, pencarian dijalankan dengan pasukan pertama yang memfokuskan kawasan sungai terhadap kemungkinan mangsa tersangkut di dasar sungai.

“Pasukan kedua pula membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan kayak untuk mencari di permukaan air.

“Manakala pasukan ketiga pula membabitkan pasukan elit Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat pencarian meyusuri sungai sejauh 15 kilometer,” katanya pada sidang media di pos kawalan yang dibuka di SK Pomotodon.

Mohd Zaidi berkata, operasi hari ini juga dibantu oleh pasukan empat yang diketuai unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pasukan kelima pula membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) yang memfokuskan pencarian di kawasan laut.

“Bagaimanapun, setakat ini, operasi masih belum dapat menemui mangsa dan akan diteruskan sehingga seminggu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, antara cabaran operasi hari ini adalah arus sungai yang masih dan hakisan tebing sungai.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kesukaran pergerakan pasukan mencari dan menyelamat untuk menjalankan operasi.

“Bagaimanapun, kita bernasib baik disebabkan paras sungai rendah berbanding semalam sehingga banyak timbunan kayu dan sampai dapat dilihat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|