Ong Kim Swee sasar kemenangan pertama Sabah FC malam ini

Ong Kim Swee sasar kemenangan pertama Sabah FC malam ini

Kota Kinabalu: Datuk Ong Kim Swee berharap Sabah FC mula bangkit dan memperolehi kemenangan dalam saingan TM Piala Malaysia bertemu PJ City FC di bawah kendalian pertamanya, malam ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor itu adalah ujian pertamanya selaku pengendali baharu skuad Sabah FC selepas mengikat kontark sebagai Ketua Jurulatih, Jumaat lalu.

Katanya, pemain Sabah FC perlu yakin dan bangkit segera daripada belenggu kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

“Selepas seminggu saya bersama mereka sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan suatu perubahan yang cukup besar dalam waktu terdekat, ini agak mustahil tetapi kita berharap Sabah FC mampu bangkit selepas tewas dalam beberapa perlawanan dalam saingan Liga Super lalu.

“Semua pemain menunjukkan sikap yang cukup positif dan sanggup menerima segala perubahan yang cuba saya lakukan. Ini sudah tentu memberi keyakinan yang amat tinggi bagi membolehkan mereka mempamerkan kualiti sebenar permainan,” katanya dalam sati kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa perubahan dilakukan dalam kesebelasan utama sepanjang kempen Piala Malaysia sebagai sandaran untuk Sabah FC menghadapi perlawanan dengan sasaran untuk mencipta kemenangan.

“Pemain yang kita miliki memang cukup matang dan berpengalaman sama ada pemain import ataupun pemain tempatan.

“Namun, sedikit perubahan dari segi corak permainan perlu dilakukan dan saya yakin pemain mampu mengadaptasinya untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Meskipun mengakui PJ City FC bukan sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan lebih-lebih lagi mereka mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri, namun katanya tidak mustahi Sabah FC mampu mencipta kejayaan.

“Dalam rekod perlawanan saingan Liga Super, Sabah FC tewas dua kali kepada PJ City FC. Harapan saya untuk semua pemain agar mereka membuktikan yang kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan sekalipun.

“Sudah tentu saya ingin mendapatkan keputusan yang positif pada perlawanan pertama saya bersama Sabah FC,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|