Ong Kim Swee jurulatih baharu Sabah FC

Ong Kim Swee jurulatih baharu Sabah FC

Kota Kinabalu: Sabah FC mengumumkan pelantikan bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Jurulatih pasukan yang baharu.

Dalam satu kenyataan malam ini, Sabah FC menyifatkan Kim Swee, 50, sebagai calon terbaik bagi menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto yang sebelum ini direhatkan.

“Dengan pengalaman luas beliau sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Kim Swee adalah calon yang terbaik untuk membimbing Sabah FC,” kata kenyataan itu.

Kurniawan direhatkan selepas prestasi skuad Sang Badak itu merosot berikutan kegagalan melakar sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir di bawah kendaliannya sejak Mei lalu.

Kim Swee hari ini meletak jawatan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti diumumkan dalam kenyataan media FAM yang turut memaklumkan keputusannya menerima tawaran Sabah FC menjadi Ketua Jurulatih pasukan berkenaan.

Bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu sebelum ini juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal FAM dan Ketua Unit Belia FAM, selain Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM)

Beliau memulakan karier kejurulatihan dengan menjadi ketua jurulatih Melaka sebelum menjadi jurulatih yang berjaya mencungkil bakat muda negara bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya peneraju skuad Harimau Muda.

Pencapaian terbaiknya, beliau berjaya membawa skuad B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia dan disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Kim Swee turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Beliau juga pernah dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan sebanyak dua kali iaitu pada 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 menggantikan Datuk K Rajagobal dan dari 5 September 2015 hingga 18 Januari 2016 selepas Dollah Salleh meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Kim Swee kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 18 Januari 2016 hingga 25 Mac 2017, sebelum diamanahkan untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

FAM dalam kenyataan medianya hari ini mengumumkan menerima peletakan jawatan Kim Swee berkuatkuasa 1 Oktober depan selepas beliau menerima tawaran menjadi Ketua Jurulatih Sabah FC.

Sabah FC ketika ini dikendalikan oleh jurulatih sementara, Burhan Ajui selain turut dibantu bekas ketua jurulatih, Jelius Ating yang dibawa masuk sebagai Penolong Pengurus Pasukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|