Nekad terjun laut, loloskan diri

Nekad terjun laut, loloskan diri

Kudat: Dua lelaki yang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa dalam kejadian di perairan Pulau Banggi, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.50 petang itu, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya meloloskan diri selepas berenang ke kawasan cetek di hutan bakau berhampiran.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Boon Chin Chau berkata, bot jenis sampan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti bom ikan di perairan Kudat hasil maklumat Unit Perisikan Maritim Malaysia.

Katanya, pemeriksaan terhadap bot berkenaan berjaya menemui tujuh botol bom ikan yang mengandungi baja bersama satu paket kecil racun ikan dan tujuh bahan peledak beserta sumbu.

“Bot berkenaan dan peralatan bom ikan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan bahan letupan (bom ikan) untuk menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Chin Chau berkata, komuniti maritim dinasihatkan supaya melaporkan sebarang salah laku jenayah atau maklumat kecemasan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi talian 088-611858 atau talian MERS999 yang beroperasi 24jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|